Wednesday, August 27, 2008

LATIHAN LUAR PENGURUSAN BENCANA


Pada 18 hingga 20 julai 2008,Jabatan Pertahanan Awam Negeri Perlis telah menjalankan latihan luar iaitu pengurusan bencana bertempat di tapak perkhemahan hujan-hujan di Gua Kelam. Latihan ini disertai seramai 90 orang anggota termasuk sukarelawan dan kadet Sekolah Menengah Syed Sirajuddin.

Anggota dibahagi kepada 3 kumpulan untuk latihan berterusan pengurusan bencana selama 12 jam. Latihan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran anggota dalam pengurusan bencana. Anggota didedahkan cara untuk merawat mangsa yang mengalami kepatahan,kecederaan tulang belakang dan sebagainya.

Objektif utama latihan ini adalah para anggota dapat mengetahui cara pengurusan bencana dengan lebih cekap. Dari sudut lain melalui latihan ini juga dapat menilai tahap kemampuan kerjasama dikalangan anggota dalam operasi pengurusan bencana.

Latihan seperti ini perlu berterusan kerana pengetahuan yang mendalam tidak menjamin kecemerlangan tugas menyelamat dalam keadaan sebenar, sebaliknya kemahiran yang dilakukan secara praktikal yang kerap dan berterusan dapat menyumbang ke arah dapat mempertingkatkan lagi tahap profesionalisme anggota yang terlibat.

Pada hari terakhir latihan ini, anggota dikehendaki untuk mengikuti aktiviti jalan lasak bermula dari tapak perkhemahan hutan hujan-hujan di Gua Kelam melalui perkampungan Wang Kelian sejauh 12 KM.




Sunday, August 24, 2008

LATIHAN MENYELAMAT KELEMASAN DI AIR DI LANGKAWI


Aktiviti yang berjalan selama 3 hari 2 malam ini ternyata
menunjukkan semangat dan keinginan anggota untuk menjalani latihan seperti ini masih belum pudar. Latihan dengan kerjasama Pertahanan Awam Cawangan Langkawi.

Antara silibus yang didedahkan adalah menyelamat mangsa menggunakan jetski, boyant, cara membawa mangsa ke darat dan seumpamanya. Penglibatan anggota JPAM Perlis pada kali ini melibatkan juga dari unit UiTM cawangan Arau, Perlis.

Penghargaan diberikan kepada Pegawai, Jurulatih dan anggota dari Cawangan Langkawi kerana menyediakan kemudahan dari segi peralatan menyelamat, tempat, pengangkutan dan lain-lain yang memudahkan latihan ini berjalan dengan lancar.



CABARAN JALAN LASAK MERDEKA PERTAHANAN AWAM


Cabaran Jalan Lasak Merdeka Pertahanan Awam Negeri Perlis akan diadakan pada 22 dan 23 Ogos. Cabaran ini melibatkan perjalanan hampir seluruh negeri Perlis. Bermula dari Bandar Kangar menuju ke Kuala Perlis-Simpang Empat-Arau-Chuping-Padang Besar-Beseri dan berakhir di Bandar Kangar. Cabaran ini terbuka kepada anggota Pertahanan Awam Negeri Perlis sahaja. Jarak perjalanan sejauh 68 Kilometer.
Cabaran ini bermula dari Bangunan Tun Hj Abdul Razak dan berakhir di bangunan Pejabat baru JPAM Perlis, Bangunan Kean Teong. Jarak setiap checkpoint sejauh 8-10 KM dan dijangka sampai dalam masa 24 jam. Setiap kumpulan diberikan bendera Jalur Gemilang untuk menanam sifat patriotik dikalangan anggota, selain itu setiap kumpulan ditugaskan untuk mengedarkan risalah berupa pamplet kepada penduduk kampung sepanjang melalui sesuatu kawasan.




Monday, August 18, 2008

OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT DI HUTAN REKREASI BUKIT AYER





TEPAT jam 12.09 tengah malam, 12 April 2008 Bilik Gerakan 999 Kangar mendapat panggilan dari IPK Kangar memaklumkan satu kejadian dua orang yang mengunjungi Kawasan Hutan Rekreasi Bukit Ayer disyaki hilang kira-kira jam 6.00 petang 11 April 2008. Pegawai yang bertugas pada masa itu, terus bergegas ke tempat kejadian bersama lima orang anggota dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan dengan bantuan renjer hutan.
Bekas Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang turut serta dalam operasi tersebut kerana tempat tersebut sering menjadi tumpuan beliau menjalankan aktiviti jungle tracking tambahan pula mangsa tersebut adalah kenalan beliau. Operasi dihentikan sehingga kira-kira pukul 5.00 pagi dan disambung semula pada jam 7.00 pagi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) yang diturunkan dari Kulim, Kedah. JPAM Perlis, Polis Daerah Kangar,PGA dan Renjer Hutan talah mengambil kata sepakat untuk memperluaskan operasi pencarian mangsa dengan bantuan anjing pengesan sehingga ke seluruh kampung berdekatan. Menurut keluarga mangsa, kedua-dua mangsa tersebut adalah suami isteri yang datang di situ untuk menetap selama seminggu di sebuah pondok di dusun berhampiran kawasan rekreasi tersebut.
Komunikasi adalah unsur yang penting dalam operasi ini, oleh itu JPAM Perlis telah menjadi “stesyen” utama komunikasi yang berbekalkan set radio amatur supaya operasi mencari dan menyelamat ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Operasi diteruskan lagi sehingga jam 7.00 malam dan pihak penyelamat telah menemui suami mangsa, walau bagaimanapun isterinya masih belum ditemui. Suami mangsa yang ditemui berkata, dia ingin membeli makanan di sebuah kedai berhampiran tetapi apabila dia pergi semula ke pondok tempat mereka berehat, tiba-tiba dia tidak menemui jalan untuk menuju tempat tersebut dan mereka terpisah sehingga pihak penyelamat menemui beliau.
Suasana yang gelap menyukarkan lagi pihak penyelamat untuk menjejaki mangsa yang sedang mengandung 5 bulan. Dengan bantuan Bekas Menteri Besar Perlis yang berbekalkan lampu picit, mangsa telah ditemui berhampiran batu besar dan mangsa kelihatan tidak bertenaga. Suasana yang gelap adalah satu lagi kesukaran bagi anggota penyelamat apabila membawa keluar mangsa dari tempat kejadian. Kira-kira pukul 9.30 malam mangsa selamat dibawa keluar dari hutan dan dihantar ke hospital berhampiran.

Friday, August 1, 2008

Perkhemahan Integrasi Kadet Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan


TAHNIAH KEPADA KADET, GURU-GURU PENYELARAS KADET PERTAHANANAN AWAM, ANGGOTA DAN PEGAWAI PERTAHANAN AWAM NEGERI PERLIS DALAM PERTANDINGAN KEMAHIRAN DI PERKHEMAHAN INTEGERASI KADET PERTAHANAN AWAM DI ULU BENDOL, NEGERI SEMBILAN.

PASUKAN DARI SEKSYEN MELAWAN KEBAKARAN TELAH MENJADI JOHAN DALAM PERTANDINGAN MELAWAN KEBAKARAN