Monday, October 18, 2010

PELANCARAN OPS BANTU JPAM PERLIS

6 September 2010 - Satu lagi tugas yang yang diamanatkan oleh jabatan sempena musim perayaan ini adalah Ops Bantu Jabatan Pertahan Awam Malaysia. Objektifnya adalah untuk membantu mangsa-mangsa bencana, kecemasan dan kemalangan di jalan raya, Persekutuan dan jalan negeri. Seterusnya adalah untuk menarik minat orang awam menganggotai sukarelawan JPAM kerana JPAM lebih dikenali dari khidmat kemanusiaan yang disumbangkan kepada masyarakat. Tugas ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya yang pulang berhari raya di kampung halaman serta mengurangkan jumlah kes kemalangan jalanraya yang saban tahun meningkat.

Bagi JPAM Negeri Perlis, penugasan ini dibahagikan kepada 2 shift bertugas yang bermula pada 8.00 sehingga 4.00 petang dan 4.00 petang sehingga 12.00 tengah malam yang melibatkan 6 buah kenderaan sahaja iaitu Rodeo, Pajero dan 2 buah motosikal Pasukan Gerak Pantas. semua kenderaan tersebut akan membuat rondaan berdasarkan masa yang telah ditetapkan. Jalan yang menjadi tumpuan bagi Ops Bantu ini adalah jalan Kangar - Alor Setar sejauh 42 Km, dan Jalan Kangar - Jitra 36 Km. Selain itu, Jalan Kangar - Padang Besar dan Lebuhraya Kuala Perlis - Changlun turut menjadi tumpuan rondaan.

Operasi yang melibatkan 8 orang petugas ini mempunyai peranan seperti memberi bantuan kecemasan (First Aider dan First Responder), membuat rondaan di semua jalan yang ditetapkan mengikut giliran secara point to point, membantu membaikpulih kerosakan kecil kenderaan dan membantu melancarkan lalulintas. Semua peralatan yang dibekalkan mengikut keperluan semasa operasi termasuk motosikal Gerak Pantas yang meronda keseluruhan jalan dan memantau keadaan keselamatan di jalanraya disamping memberi bantuan kecemasan.

Kesiap siagaan anggota yang terlibat dalam Ops Bantu ini akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap tugas dan peranan Pertahanan Awam dalam melakukan tugasan, tambahan pula ini adalah tahun pertama pihak jabatan melancarkan Ops Bantu ini bagi memberi bantuan khidmat kemanusiaan berteraskan amalan Sedia Pantas dan Berintergriti.




MAJLIS BERBUKA PUASA DAN TAKLIMAT OPS BANTU

2 September 2010 - Pada tahun ini JPAM Perlis telah merancang pelbagai program sempena musim perayaan termasuk majlis Berbuka Puasa bersama-sama warga JPAM Perlis. Majlis yang dihadiri lebih kurang 200 orang ini mengandungi serba sedikit pengetahuan dan info mengenai program JPAM Perlis sempena musin perayaan terutamanya Ops Bantu yang akan dilancarkan pada 6 September 2010. Dalam Majlis ini juga hadirin disajikan dengan ceramah ilmu mengenai perjuangan di Bulan Ramadhan oleh Ustaz Hasminuddin Bin Hashim iaitu Pensyarah Jabatan Pengajian Am yang dijemput khas dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Tuan Pengarah, Mej.(PA) Ishak Bin Mohd Radzi yang pertama kali bersama-sama dengan warga JPAM Perlis dalam majlis ini semenjak beliau mula bertugas di negeri Perlis berasa teruja dengan sambutan yang diberikan oleh Anggota JPAM Perlis dalam pelbagai aktiviti atau program yang dijalankan. Taklimat mengenai Ops Bantu yang melibatkan anggota JPAM Perlis pada tahun ini akan menerangkan satu lagi tugas baru JPAM sempena musim perayaan dimana anggota yang ditugaskan akan membuat rondaan di jalan raya yang terpilih di Negeri Perlis dan seterusya membantu dan memberi khidmat kemanusiaan kepada pengguna jalanraya yang pulang ke kampung halaman.

Ternyata peranan dari anggota JPAM Perlis amat dititikberatkan dalam melaksanakan Ops Bantu ini dan reaksi yang diberikan oleh semua warga JPAM Perlis amat menggalakkan seterusnya menjadikan nama Pertahanan Awam semakin gah di mata rakyat.



PROGRAM PENEMPATAN (ATTACHMENT) PASUKAN JPAM DI HOSPITAL TUANKU FAUZIAH

Pada 12 Julai - 10 Ogos 2010, Bahagian Latihan JPAM Perlis telah berkerjasama dengan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi menjayakan Program Attachment First Responder JPAM Perlis Anjuran Bersama HTF. Semua anggota yang terpilih adalah seramai 18 ditempatkan di Jabatan Kecemasan & Trauma HTF bagi siri yang pertama ini.Mereka ditugaskan mengikut shift dan diletakkan di Medical Emergency Coordinating Centre (MECC), Drop Zone dan Triage.

Program ini adalah sebahagian daripada protokol Emergency Medical System (EMS). Ia melibatkan teori, kemahiran dan pemerhatian dalam menghadapi situasi klinikal sebenar. Disamping itu juga, peserta dapat meningkatkan lagi kefahaman teori dan juga mempelajari langkah-langkah rawatan yang cekap, betul dan berkesan untuk menyelamat mangsa di tempat kejadian semasa menjalankan kerja-kerja pemindahan ke hospital. Peserta didedahkan dengan situasi sebenar menyelamat di tempat kejadian bersama dengan Doktor, Pembantu Pegawai Perubatan, Pembantu Perawat Kesihatan dan jururawat.

Dengan adanya Attachment ini dapat memantapkan lagi tugasan yang akan dikendalikan oleh anggota JPAM Perllis bagi kerja-kerja menyelamat ketika berlakunya bencana atau kecemasan.