Friday, July 16, 2010

EKSESAIS GABUNGAN PERTAHANAN AWAM ZON UTARA (Ex-GAPARA)













Berita dari KDN, klik di sini

KANGAR, 21-23 MEI 2010 – JPAM Perlis diberi amanat untuk menjadi tuan rumah dalam Eksesais Gabungan Pertahanan Awam Zon Utara (Ex-GAPARA) Tahun 2010 yang melibatkan seramai 150 orang dari 3 negeri di zon utara tanah air iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan juga Pusat Latihan Pertahanan Awam (PULAPA) Baling. Program yang bermula pada 10.00 pagi yang mana setiap kontingen negeri melapor diri di Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Kangar dan mula bergerak ke lokasi eksesais di Tasoh Lake Resort pada 5.00 petang untuk memulakan eksesais yang penuh mencabar ini.

Pada peringkat permulaan semua anggota yang terlibat diperkenalkan dengan makanan hutan dalam ikhtiar hidup seperti ubi kayu, sup tupai, burung dan pokok ubat-ubatan yang lain. Pada sebelah malamnya pula anggota yang menjalani sesi ikhtiar hidup, mendirikan pondok untuk dijadikan tempat perlindungan untuk penyelamat dan mangsa disamping mencari makanan di dalam hutan. Dalam persiapan untuk mendirikan pondok pada waktu malam, semua anggota ditugaskan pada waktu malam lebih kurang 5-7 kilometer dengan berbekalkan peta dan kompas dalam sesi membaca peta dan kompas. Aktiviti ini berjalan sehingga jam 6.00 pagi.

Pada hari kedua eksesais ini, semua anggota menggunakan keseluruhan masa pada siang hari dengan mengenengahkan kemahiran bot penyelamat di dalam tasik dan anggota dikehendaki menyelamatkan mangsa lemas di dalam tasik dengan menggunakan bot penyelamat. Bagi kemahiran menyelamat tempat tinggi, anggota dikehendaki menurunkan mangsa yang lemah dari atas bukit disamping memberi rawatan kepada mangsa tersebut. Selain itu dalam menyelamat teknikal, anggota haruslah menggunakan seberapa banyak peralatan dan kelengkapan yang diberikan untuk membawa mangsa ke tempat yang selamat apabila melalui tempat yang sukar. Dalam kemahiran Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAM), ia digabungkan dengan melawan kebakaran bagi melawan kebakaran dari kenderaan. Dalam tugasan seharian, anggota pertahanan awam kerap menangani kes menangkap ular, oleh itu kemahiran menangkap ular juga turut diimplimentasikan dalam eksesais ini bagi menguji tahap keberanian anggota untuk menangkap ular.

Unit Perhubungan Awam Dan Dokumntasi JPAM Perlis talah mengadakan sesi post mortem pada sebelah malam terakhir ini dengan membuat tayangan video yang telah di sunting untuk tontonan semua anggota yang terlibat sepanjang eksesais ini berlangsung. Ia dapat mengenal dan memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan eksesais ini untuk memntapkan lagi pada eksesais yang akan datang.

Segala persediaan dan kelengkapan yang telah disusun selama sebulan untuk majlis penutup ini berjalan begitu lancar terutamanya demonstrasi persembahan yang telah mendapat pujian dari Yang Amat Setia Pesuruhjaya (PA) Dato’ Hj Abdul Halim Bin Abdul Hamid, Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia. Kehadiran Yang Amat Setia Dato’ pada majlis penutup ini dimulakan dengan persembahan pergerakan bot penyelamat berserta letupan yang membawa semua anggota dari tengah tasik menuju ke tapak majlis dan membuat perbarisan di hadapan Yang Amat Setia Dato’ Ketua Pangarah. Upacara penyampaian Pingat, Watikah dan Pangkat kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Negeri Perlis turut diadakan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota sepanjang perkhidmatan mereka dalam Pertahanan Awam. Majlis yang juga dihadiri oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kedah dan Pulau Pinang dan Wakil Komandan PULAPA Baling turut menyaksikan gimik penyampaian cenderahati kepada Ketua Pengarah oleh Unit Pasukan Skuba JPAM Perlis.

Ternyata Ex-GAPARA ini banyak memberi impak yang positif kepada warga JPAM khususnya bagi zon utara ini kerana kemahiran ini seharusnya kita praktikan di dalam tugasan seharian kita sebagai anggota Pertahanan Awam.


Lain-lain gambar, lawati facebook

No comments: