Tuesday, September 27, 2011

MAJLIS SERAH BANGUNAN PUSPA







25 Ogos 2011 -JPAM Perlis telah menempa sejarah dengan rasminya menerima hak pemilikan bangunan Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) Negeri Perlis. Majlis yang dihadiri oleh Pengarah JKR Perlis, Azizan Bin Ab Rahman, wakil-wakil kontraktor, media dan Warga JPAM Perlis sendiri menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini. Sesi menandatangani Sijil Penyerahan di antara Pengarah JKR dan Pengarah JPAM Perlis, Mej.(PA) Ishak Bin Mohd Radzi telah diadakan dengan jayanya bagi membuktikan pemilikan penuh Pejabat Pertahanan Awam Negeri Perlis yang baru.

Pembinaan yang menelan belanja lebih 9 juta ringgit mengambil masa 3 tahun untuk disiapkan bermula pada 21 Mei 2009. Ternyata segala perancangan baru yang akan dan telah dilaksanakan akan memberikan lebih konsisten terhadap JPAM Perlis dalam menerajui keselamatan negara. Segala kursus yang dianjurkan akan ditempatkan sepenuhnya di sini yang boleh memuatkan seramai 200 orang peserta dalam satu-satu masa.

Penghargaan diberikan kepada semua yang terlibat dalam pembinaan projek ini yang terdiri dari arkitek dan jurutera-jurutera JKR, Jurutera Perunding (Azmee & Fauziah Consult Sdn. Bhd), Jurukur Bahan (Nor Azah Consultant) dan Kontraktor Utama iaitu Apex Builders Sdn.Bhd.

Proses pemindahan berterusan sehingga pengujung Semptember 2011 dijalankan secara berperingkat yang menggerakkan semua jentera dan logistik JPAM Perlis.

LATIHAN WATER RAFTING

15-17 Julai 2011 - Penyertaan lebih kurang 30 orang angota JPAM Perlis telah memulakan pergerakan dari PDPA Kangar pada awal pagi untuk menguji mental dan fizikal dalam aktiviti yang penuh mencabar ini. Lata Air Deras Sungai Sedim selain menjadi tumpuan tempat perkhelahan dan para pencinta alam, ia juga sesuai untuk aktiviti White Water Rafting.

Dengan khidmat bantuan dari jurulatih berpengalaman dalam aktiviti lasak ini, semua anggota dan pegawai yang terlibat telah memberikan penumpuan dan semangat yang tinggi untuk mengendalikan raft tanpa sebarang masalah. Teknik mengendalikan raft bukan sesukar yang disangka asalkan yakin dan sentiasa peka terhadap permukaan juram. Selagi tinggi juram selagi mencabar laluan yang ditempuhi, namun risiko sedia menanti bagi yang tidak berhati-hati semasa mengendalikan raft.

Latihan ini menjadi suatu aktiviti rekreasi pada para anggota yang ingin melepaskan tekanan semasa menjalani latihan angkatan dan ia juga telah mencetuskan idea untuk memiliki raft ini bagi menjalankan Operasi Khidmat Kemanusiaan semasa operasi banjir.

Anggota yang berkampung selama 3 hari 2 malam telah menunjukkan semangat kerjasama bagi menjayakan latihan ini dengan harapan dan semangat baru yang akan dibawa dalam program jabatan yang lain.

Saksikan video ini






JURUTEKNIK MAUT KETIKA HANTAR ANAK KE SEKOLAH

20 Jun 2011 - pada jam 6.15 pagi, satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah motosikal dan tiga orang mangsa telah berlaku dihadapan Sekolah Menengah Kebangsan Syed Sirajuddin yang telah meragut satu nyawa. Kejadian berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang oleh Jasmin Bin Yusof bersama anaknya datang dari arah Kangar menuju ke Arau bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang keluar secara tiba-tiba dari arah sekolah menyeberangi jalan menuju ke Kangar. Dalam pada itu, sebuah kereta dari arah Kangar yang dipandu oleh Ahmad Syahir Solihin Bin Sukiman bersama kawannya Muhammad Zaid Bin Jafri iaitu anggota JPAM Perlis juga hampir terlibat dalam kemalangan tersebut apabila seorang mangsa tercampak ke tengah jalan, walaubagaimanapun kereta tersebut berjaya berhenti sebelum melanggar mangsa.

Kedua-dua orang anggota tersebut membuat pemeriksaan terhadap ketiga-tiga orang mangsa dan mendapati seorang mangsa cedera ringan, seorang lagi mengalami kepatahan tulang pelvic dan mangsa seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian sementara menunggu disahkan oleh pihak hospital. Anggota tersebut membuat panggilan terus ke Pusat Kawalan Operasi JPAM Perlis untuk membantu pihak hospital dan polis. Mangsa yang mengalami kepatahan tulang Pelvic dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk mendapatkan rawatan.

Memandangkan pada hari tersebut adalah hari bekerja dan kejadian berlaku dihadapan sekolah, keadaan jalan semakin sesak dan satu cabaran bagi pihak JPAM dan Polis apabila pengguna jalan raya tidak mematuhi isyarat yang diberikan. Mangsa yang meniggal dunia ialah Jasmin Bin yusof berumur dalam lingkungan 50-an dan bekerja sebagai juruteknik di kilang Shoerubber Jejawi. Kes tamat pada jam 7.45 pagi apabila polis selesai membuat laporan dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dituntut oleh keluarga mangsa.



Thursday, August 25, 2011

JPAM PERLIS JOHAN PERTANDINGAN PENGENDALIAN BOT MENYELAMAT

9-12 Jun 2011 - Pergerakan anggota yang bermula pada 8 Jun 2011 dari PDPA Kangar ke Negeri Bandaraya bersejarah, Melaka, memberi lebih semangat kepada anggota JPAM Perlis untuk menyertai Eksesais Pertahanamn Awam Peringkat Kebangsaan kali ke-17 yang diadakan di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka. Seperti tahun lepas, Penginapan anggota yang berupa khemah dan sistem pengurusan kebajikan adalah dari negeri masing-masing yang melibatkan hampir 100 orang anggota dari kontinjen negeri Perlis.


Majlis pembukaan eksesais ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPAM, Dato' Hj Abdul Halim Abdul Hamid terpaksa meringkaskan ucapannya berikutan kejadian angin ribut melanda kawasan Pantai Puteri yang menyebabkan beberapa khemah yang digunakan dalam majlis tersebut diterbangkan angin. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.00 pagi itu disaksikan oleh 2,000 warga JPAM dan penjunjung dari seluruh negara.


Antara acara yang dipertandingkan di dalam eksesais ini adalah Melawan Kebakaran, Kawad Kaki, Perawatan Kecemasan, Penyelamat Pantai, Pengurusan sajian Dan Masakan, Explorace, Menyelamat Tempat Tinggi, Menyelamat Integrasi dan acara yang merangkul Johan bagi JPAM Perlis adalah Pengendalian Bot Menyelamat. Bot yang digunakan di dalam pertandingan ini adalah jenis aluminium berukuran 14' yang memuatkan 4 orang peserta termasuk mangsa. Latihan yang giat dijalankan sebelum pertandingan ini tidak sia-sia termasuk kecekapan anggota mengendalikan bot.







Hari terakhir Eksesais menyaksikan majlis penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Wira Abu Seman bin Yusop. Penyertaan anggota dalam eksesais ini telah banyak membawa peningkatan dari segi kecekapan dan sistem pengurusan latihan walaupun JPAM Perlis tidak dapat merangkul kemenangan bagi kebanyakan kategori yang dipertandingkan, Namun semangat dan azam masih lagi membara untuk menempa kejayaan pada tahun akan datang.

PERKHEMAHAN INTEGRASI KAPA PERINGKAT NEGERI PERLIS 2011

7-9 Jun 2011 - Penubuhan Pasukan Kadet Pertahanan Awam (KAPA) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk membentuk masyarakat khususnya para pelajar melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan bertujuan memantapkan semangat patriotik, meningkatkan tahap disiplin dan membina semangat bekerjasama berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Antara kemahiran yang diterapkan di dalam sukatan pembelajaran KAPA, adalah Pertolongan Cemas, Melawan kebakaran dan menyelamat yang boleh digunakan oleh pelajar pada bila-bila masa. Seramai 20 orang jurulatih dari JPAM Perlis yang terdiri daripada pelbagai kemahiran telah melatih pelahar-pelajar sekolah yang mana perkhemahan ini adalah saringan untuk memilih kontinjen-kontinjen yang layak ke Peringkat kebangsaan yang diadakan di Kuantan, Pahang pada Julai ini.


Bertempat di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tasoh, Perlis, seramai 262 orang yang terdiri daripada 9 buah sekolah Menengah seluruh negeri Perlis telah menyertai Perkhemahan Integrasi Kadet Pertahanan Awam Peringkat Negeri Perlis Tahun 2011. Guru-guru yang terlibat telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap penglibatan kepada pelajar mereka dalam menyertai pasukan beruniform ini. Antara kategori yang dipertandingkan adalah Kawad Kaki, Melawan Kebakaran, menyelamat dan Perawatan Awal yang mana ia adalah format pertandingan yang akan di bawa ke Peringkat kebangsaan.



Majlis penutup dirasmikan oleh Pengarah JPAM Perlis, YS. Mej.(PA) Ishak bin Mohd Radzi menyatakan rasa bangga terhadap penglibatan sekolah dalam KAPA semakin meningkat bilangannya berbanding tahun sebelum ini. turut hadir dalam majlus penutup ini adalah wakil dari Jabatan pelajaran Negeri Perlis, En. Shabri bin Ghazali.


Berikut adalah keputusan Pertandingan Sempena Perkhemahan Integrasi Kadet Pertahanan Awam Peringkat Negeri Perlis Tahun 2011:


Terbaik Keseluruhan

  1. SMK Syed Sirajuddin
  2. SMK Tengku Suleiman
  3. SMK Puan Muda Tengku Fauziah

Kawad Kaki (lelaki)

  1. SMK Tengku Suleiman
  2. SMK Putra
Kawad Kaki (wanita)
  1. SMK Tengku Suleiman
  2. SMK Syed Sirajuddin
Menyelamat
  1. SMK Syed Sirajuddin
  2. SMK Tengku Suleiman
  3. SMK Tengku Budriah
Melawan Kebakaran
  1. SMK Syed Sirajuddin
  2. SMK Puan Muda Tengku Fauziah
  3. SMK Syed Saffi
Perawatan Awal
  1. SMK Puan Muda Tengku Fauziah
  2. SMK Putra
  3. SMK Dato' Jaafar Hassan
Ketua Platun Terbaik Lelaki
Mohd Khalifah bin Mohd Kamal (SMK Tengku Suleiman)

Ketua Platun Terbaik Wanita
Nur Farizza Bt Amil ( SMK Tengku Suleiman)