Wednesday, March 14, 2012

SEPETANG BERSAMA MB PERLIS DAN TAN SRI KSU KEMENTERIAN DALAM NEGERI

26 November 2011 - Yang Amat Berbahagia Tan Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha (KSU)Kementerian Dalam Negeri dalam rangka lawatannya bertemu warga agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri cawangan Kedah dan Perlis termasuk lawatannya ke Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) Negeri Perlis dan sempat meluangkan masa untuk mendengar taklimat Persiapan Banjir JPAM Perlis yang telah disampaikan Pengarah JPAM Perlis, Mej.(PA) Ishak bin Mohd Radzi.

Pembentangan laporan kesiapsiagaan menghadapi Banjir di Negeri Perlis menjadi agenda utama dalam lawatan beliau ke JPAM Perlis. Hadir sama melengkapkan taklimat tersebut ialah yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Md Isa Bin Sabu, Ketua Pengarah JPAM, Dato' Sulaiman bin Hj Keling dan Ketua-ketua Pengarah Jabatan di bawah KDN. Ini menujukkan perhatian dan kepercayaan di peringkat kementerian terhadap perlaksanaan operasi oleh JPAM Perlis semakin diberi kepercayaan.

Pengarah JPAM Perlis, telah menekankan persiapan dari segi logistik iaitu kelengkapan peralatan menyelamat semasa banjir, kelengkapan kendaraan yang lengkap dengan petugas-petugas yang akan bertugas sepanjang banjir yang akan dipecahkan mengikut shift. Selain itu, kawasan-kawasan tumpuan risiko banjir turut diterangkan oleh pengarah. Kawasan dimaksudkan berdasarkan 3 parlimen di Negeri Perlis iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.

Harapan KSU dan MB Perlis dalam Persiapan Banjir yang mungkin akan melanda pada musim tengkujuh ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada JPAM Perlis melaksanakan tugas ini dengan penuh komitmen yang tinggi untuk rakyat.

LATIHAN SISPA IPG

Kem Latihan SISPA Semester Empat Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis telah berlangung pada 18 hingga 21 November 2011. Kemlatihan ini bertempat di Pusat Pertahanan Awam Negeri Perlis.

Para peserta kem latihan ini merupakan Pegawai Kadet SISPA yang juga merupakan guru-guru pelatih dari InstitutPendidikan Guru Kampus Perlis.Kem latihan ini dianjurkan oleh Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam IPG Kampus Perlis dengankerjasamaJabatanPertahananAwam Malaysia Negeri Perlis.

Perkhemahan yang dijalankan ini adalah sebagai pelengkap kepada keperluan anggota-anggota Kor SISPA IPG Kampus Perlis untuk menyempurnakan silibus latihan semester empat Ia membolehkan anggota-anggota melengkapkan diri untuk ditauliahkan sebagai Leftenan Muda kelak.

Dari segi penyertaan, ia disertai oleh 54 orang peserta. 35 daripadanya merupakan peserta wanita dan selebihnya iaitu 19 orang peserta lagi merupakan peserta lelaki. penglibatan daripada pelbagai bahagian menunjukkan kesepakatan dan kerjasama utuh yang diterapkan dalam kegiatan Kor SISPA di IPG Perlis ini.

Kem latihan kali ini lebih kepada pengurusan serta organisasi bencana serta pasukan di mana latihan kali ini melatih semua Pegawai Kadet SISPA untuk membentuk diri ke arah pengetahuan dan peribadi seorang pegawai Pertahanan Awam. Latihan yang dijalankan terdiri daripada latihan kawad tongkat, khidmat kecemasan 999, pengurusan bencana dan krisis, kaedah pengurusan latihan,kaedah pengurusan pasukan, kepimpinan dalam organisasi serta etiket dan protokol.

. Majlis penutup dirasmikan oleh Kapten (PA) MohdRuhaizul bin Md Isa @ Mansor, Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perlis. Turut hadir ialah Encik Abdul Rahman bin Khalid, wakil Pengarah IPG Kampus Perlis merangkap Ketua Penyelaras Kor SISPA IPG Kampus Perlis.

Wednesday, February 29, 2012

KEM PENGURUSAN BENCANA DAN JATI DIRI

13-15 November 2011 - Kadet Pertahanan Awam Malaysia SMK Tengku Sulaiman telah menganjurkan Kem Pengurusan Bencana dan Jatidiri Kepimpinan bertempat di Taman Rekreasi Titi Hayun, Yan Kedah. Seramai 46 peserta dari tingkatan 3 dan tingkatan 4 telah menyertai kem tersebut. Seramai 8 orang guru penyelaras dan guru pengiring diketuai oleh Cikgu Wan Ahmad Zamri yang merupakan Guru Penyelaras KAPA SMK Tengku Sulaiman menyertai kem tersebut yang julung-julung kali diadakan oleh SMK Tengku Sulaiman tersebut.
Kem tersebut juga turut disertai seramai 6 orang jurulatih-jurulatih dari JPAMPs yang bertujuan membimbing dan mengajar peserta bagaimana menangani pelbagai bencana yang menimpa terutamanya bencana banjir yang sentiasa menimpa negeri perlis setiap akhir tahun. Ini merupakan pendedahan awalan bagaimana persediaan menghadapi banjir untuk semua peserta-peserta yang menyertai kem tersebut. Pelbagai teknik-teknik menyelamat menggunakan strecher untuk membawa mangsa telah diajar kepada semua peserta. Selain itu para peserta juga diberi pendedahan mengenai ‘kehidupan’ hutan apabila semua peserta turut menyertai ekspedisi menawan Gunung Jerai yang dimulakan pada jam 09:00 pagi pada hari kedua. Objektif ekspedisi tersebut ialah dapat melihat bagaimana kerjasama yang diterapkan dikalangan peserta dalam mencapai sesuatu matlamat. Alhamdulillah dengan kerjasama yang diterapkan dikalangan peserta bermula dari hari pertama kem tersebut, akhirnya semua peserta dapat menawan Gunung Jerai tersebut dengan jayanya.
Majlis Penutup Kem telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum Cikgu Mohd Noor yang memuji program yang telah dijalankan oleh Kadet Pertahanan Awam dan beliau berharap kem seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun hadapan dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perlis. Beliau juga berharap kerjasama tersebut tidak terhenti di sini sahaja.





Wednesday, January 4, 2012

JPAM PERLIS TEMPAT KE 3 SEMPENA HARI INOVASI

18-20 Oktober 2011 - Persediaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JPAM Perlis yang dikenali dengan nama kumpulan 'Harum Manis' bermula pada April 2011 menjalankan projek berdasarkan masalah -masalah yang telah dikemukakan daripada aduan-aduan oleh warga JPAM Perlis. Projek yang dijalankan adalah Patung E-Manikin.

Hari Inovasi yang mengenengahkan 3 kategori seperti Pertandingan Inovasi, Penarafan Bintang dan KIK telah memberikan peluang kepada 17 Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk membina pemikiran yang berdaya kreatif disamping memperbaiki mutu perkhidmatan jabatan. Tidak dinafikan semua PTJ yang bertanding pada tahun 2011 ini telah menunjukkan keberkesanan dalam menjalankan sesuatu projek inovasi.


Kapt. (PA) Mohd Ruhaizul bin Md Isa, Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Negeri Perlis merupakan fasilitator bagi kumpulan ini manakala Lt. (PA) Mohd Khairul Sobri bin Abdul Rahim, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kangar, bertindak sebagai ketua kumpulan dan dibantu oleh 9 orang ahli lain daripada staf tetap jabatan. Selaras dengan objektif Jabatan Pertahanan Awam Negeri Perlis yang berfungsi untuk mengawal, melaksana dan menilai program untuk orang awam, penggunaan patung manikin yang maksimum dan kerap dilihat sebagai satu keperluan dalam setiap latihan yang dijalankan. Perkara ini jelas dapat menyumbang kepada kemantapan sesuatu latihan yang dijalankan dan seterusnya berupaya melahirkan anggota-anggota yang dapat memberi sumbangan, perkhidmatan dan bantuan yang maksimum kepada orang awam semasa berlakunya sesuatu bencana. Hal tersebut juga bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin merealisasikan aspirasinya untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan agensi-agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, seiiring dngan slogan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

Selain itu, Jabatan Pertahanan Awam Negeri Perlis juga bertanggungjawab untuk merekrut, melatih dan mengurus seramai mungkin anggota sukarelawan pertahanan awam dalam usaha menjadi salah sebuah pasukan penyelamat yang dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam. Oleh itu, projek E-Manikin ini dilihat dapat membantu dari segi pengurusan untuk latihan yang perlu diadakan dengan kerap untuk anggota sukarelawan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pengurusan yang dimaksudkan adalah dari aspek penyediaan alatan untuk latihan yang dijalankan. Patung manikin sedia ada sangat terhad bilangannya. Oleh itu, pihak jabatan perlu merancang dengan teliti setiap latihan yang memerlukan penggunaan patung manikin tersebut. Dalam erti kata yang lain, latihan yang melibatkan penggunaan patung manikin tersebut tidak dapat dijalankan dengan kerap sedangkan penggunaannya sangat penting. Dengan adanya E-Manikin yang boleh disediakan dalam bilangan yang banyak, kekerapan menjalankan latihan dapat dipertingkatkan seiring dengan pemerolehan ilmu oleh anggota semasa menjalankan latihan yang melibatkan patung manikin.



Program yang berlangsung selama 3 hari ini telah mempertandingkan Projek KIK dari setiap PTJ yang terlibat termasuk pusat latihan. Semua projek inovasi telah dipamerkan sewaktu majlis penutupan yang telah dihadiri oleh pengurusan tertinggi KDN dan IPPA. Bagi kategori Penarafan Bintang, JPAM Perlis telah mendapat 3 bintang dan berikut adalah keputusan bagi kategori yang telah dipertandingkan:

Pertandingan Inovasi

  1. PULAPAT Jengka
  2. PNPA Sarawak
  3. PNPA Perlis
KIK
  1. PNPA Wilayah Persekutuan
  2. PULAPAT Jengka
  3. PNPA Kedah
Tahniah diucapkan kepada ahli Kumpulan Harum Manis KIK JPAM Perlis atas usaha yang berbaloi telah membawa pulang wang tunai RM 1,000.00 manakala Naib Johan RM 2,000.00 dan Johan RM 3,000.00.



3 TRAGEDI 1 OPERASI

1. 26-27 September 2011 - JPAM Perlis menerima panggilan mendapati seorang remaja berumur 20 tahun dipercayai untuk berehat di tepi Sungai Arau berdekatan dengan Istana Arau berehat dengan bermain bot mainan kawalan jauh. Mangsa yang ingin mengalihkan bot mainannya yang tersangkut tiba-tiba terjatuh dan mangsa tidak dapat mengawal dirinya lalu tenggelam dibawa arus sungai.

Arus air yang deras menyukarkan lagi pasukan penyelamat untuk meneruskan operasi pada waktu malam. Operasi disambung pada keesokkanya dengan penambahan anggota penyelamat dan kemudahan logistik di tempat kejadian. Mangsa yang bernama Mohd Norhafizie bin Mohd Nan bekerja di sebuah pasaraya berdekatan merupakan anak ke 5 dari 7 orang adik beradik.

Pasukan Penyelamat JPAM Perlis, PDRM dan JBPM menjalankan operasi ini dengan menggunakan bot melalui teknik pencarian di dasar air dan di celah-celah tunggul kayu dan sampah. Namun keadaan paras air sungai yang meningkat dan arus deras berikutan hujan lebat sepanjang hari sedikit sebanyak menyukarkan proses pencarian.

Lebih kurang jam 7.00 malam mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung di kawasan berdekatan dengan jambatan lebuhraya Changlun-Kuala Perlis. Operasi ditamatkan pada jam 8.00 malam.





2. 27 September 2011 - Dalam melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat Mangsa Mati Lemas di Sungai Arau, satu kejadian yang sama telah berlaku di sebatang sungai berdekatan Jejawi yang telah meragut nyawa seorang remaja berumur 22 tahun bernama Mohd Nizam bin Othman dari Kampung Pida, Kodiang, Kedah.

Mangsa yang telah dilaporkan hilang oleh keluarganya di Balai Polis Kodiang telah dijumpai oleh orang ramai pada jam 10.05 pagi tersangkut di paip air yang merentasi tali air di Kampung Alor Redis. Menurut dari sumber yang boleh dipercayai, mangsa didapati terjatuh bersama motosikal yang ditunggangnginya dalam perjalanan ke tempat kerja yang berdekatan dengan kawasan kejadian.

Sepasukan penyelamat dari JPAM Perlis terus bergegas ke tempat kejadian dan mayat terus dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk tindakan selanjutnya.





3. 27 September 2011 - Tidak jauh dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dalam Operasi Mencari dan Menyelamat Mangsa Mati Lemas di Sungai Arau, dalam keadaan angin ribut kencang, sebatang pokok tumbang telah menghempap sebuah bengkel kereta kepunyaan Erwan bin Yahya. Keadaan menjadi kelam kabut seketika berikutan keadaan hujan yang begitu lebat yang berlaku pada jam 4.25 petang.

Tindakan pantas penyelamat dari agensi yang terlibat yang berada di tempat kejadian terus memeriksa samaada terdapat mangsa di bawah runtuhan bengkel yang disebabkan oleh pokok tumbang termasuk kereta yang kemek akibat kejadian tersebut. Namun tidak berlaku kejadian yang meragut nyawa.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA BERSAMA DATO' KETUA PENGARAH DI PUSPA

24 September 2011 - Suasana aidilfitri dimeriahkan dengan sambutan Hari Raya Peringkat JPAM Perlis yang hadiri oleh warga JPAM dari pelbagai unit. Segala juadah yang disediakan oleh Warga JPAM Perlis sendiri dengan bertemakan makanan popular Malaysia khususnya Negeri Perlis.



Suasana sambutan ini bertambah ceria dengan termasyhurnya Kompleks Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) Negeri Perlis yang baru memulakan operasinya pada pertengahan bulan ini. Majlis ini telah berlangsung di perkarangan Blok Operasi kompleks ini diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato' Hj Abdul Halim bin Abdul Hamid, Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia bersama isteri. Hadir sama memeriahkan majlis, Pengarah JPAM Negeri Kedah, Wakil JPAM P.Pinang, Komandan PULAPAU Baling, Kelab Media Perlis dan wakil-wakil jabatan di Kementerian Dalam Negeri.

Antara juadah yang disediakan adalah satay, ayam golek, aiskrim, cendol, kuew teow kerang, laksa Perlis, ketupat dan lemang. Pada tahun ini majlis ini juga telah membawa seribu kenangan kepada Yang Berbahagia Dato' Ketua Pengarah kerana beliau akan menamatkan perkhidmatannya di dalam kerajaan pada 27 September 2011 dan ini adalah kali terakhir beliau bersama warga JPAM Perlis sebelum bersara.

Dua orang penyanyi jemputan telah diundang bagi memeriahkan majlis yang juga diirinya oleh persembahan karaoke yang Dato' Ketua Pengarah sempat menyumbangkan beberapa buah lagu hari raya bersama isteri. Selain itu acara cabutan bertuah dan pertandingan gerai tercantik juga turut diadakan. Seramai lebih kurang 350 tetamu telah hadir pada majlis rumah terbuka tahun ini termasuk peserta Kursus Asas Siri 11/2011 yang sedang menjalani kursus di PUSPA ini.

Satu majlis doa selamat turut diadakan sempena majlis ini bagi menambah keberkatan dan rahmat di atas penyempurnaan pembinaan PUSPA Perlis.