Wednesday, January 4, 2012

KOR SISPA UNiMAP





18 SEPTEMBER 2011- UNIMAP telah mengadakan Hari Ko-Kurikulum sempena Majlis Istiadat Konvokesyen yang telah diadakan selama 3 hari bermula 16 Sept 2011-18 Sept 2011. Majlis Istiadat Konvokesyen telah berlangsung di Dewan 2020, Kangar, manakala Ekspo Hari Ko-Kurikulum telah diadakan di Dataran Merdeka, Kangar. Majlis perasmian penutupan Hari Ko-Kurikulum itu telah dihadiri dan dirasmikan oleh Brigadier General Prof. Dato’ Dr. Kamarudin Bin Husin merangkap Panglima Angkatan PALAPES UNIMAP tepat jam 03:45 petang.

Pelbagai atucara telah diadakan sempena majlis perasmian penutup tersebut. Pembukaan gimik perasmian didahului oleh demonstrasi dari Taekwon-Do, Silat Cekak dan Karate-Do. Kor JPAM pula tidak terkecuali dari mengambil bahagian dalam acara perbarisan lintas hormat yang disertai seramai 30 anggota yang menyertai perbarisan tersebut yang diketuai oleh Pbt (PA) Hazmee Bin Abdul Halim. Selain itu Kor JPAM tidak terkecuali dari menyertai Demonstrasi Bersepadu bersama Kor Bomba, Kor St. John Ambulans, Kor SUKSIS (Polis), Kor BSMM (Bulan Sabit Merah Malaysia) dan Kor KLKM (Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia). Acara dihangatkan lagi oleh persembahan khas PALAPES yang bertemakan “Peperangan Di Kawasan Terbina” yang sungguh menghiburkan dan mendapat respon dari penonton yang mengunjungi Hari Ko-Kurikulum.

Acara diakhiri dengan lawatan oleh Brigadier General Prof. Dato’ Dr. Kamarudin Bin Husin ke ‘booth’ agensi-agensi yang mengambil bahagian. Booth JPAM Perlis kali ini mendapat sambutan yang mengalakkan kerana terdapat ular sawa pelbagai saiz yang dipertontonkan oleh anggota JPAM kepada orang awam yang begitu tertarik untuk mengetahui tabiat dan habitat reptilia tersebut. Yang Behormat Dato’ tidak terkecuali melihat reptilia tersebut dengan lebih dekat lagi.


BANJIR KE 3 PERLIS




11-15 September 2011 - Dalam masih lagi menyambut kemeriahan syawal, ini adalah kali ke 3 Negeri Perlis telah dilanda banjir dalam masa tidak sampai setahun yang mana kali terakhir negeri ini dilanda banjir pada penghujung Mac lalu. Namun Pasukan Penyelamat JPAM Perlis masih berkomitmen tinggi untuk menjalankan operasi Khidmat Kemanusiaan ini. Walaubagaimanapun keadaan ini tidak seteruk banjir yang lalu.

Tahap keberkesanan operasi ini meningkat kerana kemudahan dan infrastruktur baru yang dimiliki JPAM Perlis iaitu pembukaan Bilik Gerakan Banjir JPAM di Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) , Seriab telah menjadi kes pertama yang dijalankan di tempat ini. Peristiwa banjir lalu telah menjadi iktibar dalam perlaksanaan operasi ini dengan lebih berkesan. Kompleks PUSPA juga telah menjadi pusat penyediaan makanan untuk mangsa-mangsa banjir yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Tugas memindahkan mangsa banjir pada kali ini telah mencatatkan seramai 567 orang yang melibatkan 156 keluarga di semua 13 Pusat Pemindahan. Pembukaan Pusat Pemindahan dipecahkan kepada 3 Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar. Menurut Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) ia hanyalah banjir kilat akibat limpahan air sungai di beberapa sungai utama kerana hujan lebat sehari semalam pada hari pertama dan hujan berterusan sehingga beberapa hari yang menyababkan peristiwa pada penghujung Mac lalu berulang.

Tepat jam 8.00 malam 15 September, Bilik Gerakan Banjir JPAM ditutup dengan mencatatkan penurunan jumlah mangsa di dan penutupan semua Pusat pemindahan secara berperingkat.






Thursday, October 20, 2011

OPS BANTU JPAM PERLIS 2011



25 Ogos 2011- Satu lagi tugas Khidmat Kemanusiaan sempena musim perayaan ini adalah Ops Bantu III Jabatan Pertahan Awam Malaysia. Objektifnya adalah untuk membantu mangsa-mangsa bencana, kecemasan dan kemalangan di jalan raya, Persekutuan dan jalan negeri. Seterusnya adalah untuk menarik minat orang awam menganggotai sukarelawan JPAM kerana JPAM lebih dikenali dari khidmat kemanusiaan yang disumbangkan kepada masyarakat. Tugas ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya yang pulang berhari raya di kampung halaman serta mengurangkan jumlah kes kemalangan jalanraya yang saban tahun meningkat.

Pengarah JPAM Perlis, Mej.(PA) Ishak bin Mohd Radzi yang hadir sama pada majlis pelancaran Ops Bantu III JPAM Perlis menegaskan mengenai tugas yang dianggap berisiko sempena musim perayaan ini dan memuji semangat kesukarelaan kepada petugas. Selain itu, Pengarah JPAM Perlis menyerahkan sumbangan kuih raya kepada petugas Ops Bantu yang telah disumbangkan oleh Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Bagi JPAM Negeri Perlis, penugasan ini dibahagikan kepada 2 shift bertugas yang bermula pada 8.00 sehingga 4.00 petang dan 4.00 petang sehingga 12.00 tengah malam yang melibatkan 4 buah kenderaan sahaja iaitu Rodeo, Pajero dan 2 buah motosikal Pasukan Gerak Pantas. Semua kenderaan tersebut akan membuat rondaan berdasarkan masa yang telah ditetapkan. Jalan yang menjadi tumpuan bagi Ops Bantu ini adalah jalan Kangar - Alor Setar sejauh 42 Km, dan Jalan Kangar - Jitra 36 Km.

Operasi yang melibatkan 8 orang petugas ini mempunyai peranan seperti memberi bantuan kecemasan (First Aider dan First Responder), membuat rondaan di semua jalan yang ditetapkan mengikut giliran secara point to point, membantu membaikpulih kerosakan kecil kenderaan dan membantu melancarkan lalulintas. Semua peralatan yang dibekalkan mengikut keperluan semasa operasi termasuk motosikal Gerak Pantas yang meronda keseluruhan jalan dan memantau keadaan keselamatan di jalanraya disamping memberi bantuan kecemasan.

Kesiap siagaan anggota yang terlibat dalam Ops Bantu ini akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap tugas dan peranan Pertahanan Awam dalam melakukan tugasan, tambahan pula ini adalah tahun pertama pihak jabatan melancarkan Ops Bantu ini bagi memberi bantuan khidmat kemanusiaan berteraskan amalan Sedia Pantas dan Berintergriti.

Tuesday, September 27, 2011

MAJLIS SERAH BANGUNAN PUSPA







25 Ogos 2011 -JPAM Perlis telah menempa sejarah dengan rasminya menerima hak pemilikan bangunan Pusat Pertahanan Awam (PUSPA) Negeri Perlis. Majlis yang dihadiri oleh Pengarah JKR Perlis, Azizan Bin Ab Rahman, wakil-wakil kontraktor, media dan Warga JPAM Perlis sendiri menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini. Sesi menandatangani Sijil Penyerahan di antara Pengarah JKR dan Pengarah JPAM Perlis, Mej.(PA) Ishak Bin Mohd Radzi telah diadakan dengan jayanya bagi membuktikan pemilikan penuh Pejabat Pertahanan Awam Negeri Perlis yang baru.

Pembinaan yang menelan belanja lebih 9 juta ringgit mengambil masa 3 tahun untuk disiapkan bermula pada 21 Mei 2009. Ternyata segala perancangan baru yang akan dan telah dilaksanakan akan memberikan lebih konsisten terhadap JPAM Perlis dalam menerajui keselamatan negara. Segala kursus yang dianjurkan akan ditempatkan sepenuhnya di sini yang boleh memuatkan seramai 200 orang peserta dalam satu-satu masa.

Penghargaan diberikan kepada semua yang terlibat dalam pembinaan projek ini yang terdiri dari arkitek dan jurutera-jurutera JKR, Jurutera Perunding (Azmee & Fauziah Consult Sdn. Bhd), Jurukur Bahan (Nor Azah Consultant) dan Kontraktor Utama iaitu Apex Builders Sdn.Bhd.

Proses pemindahan berterusan sehingga pengujung Semptember 2011 dijalankan secara berperingkat yang menggerakkan semua jentera dan logistik JPAM Perlis.

LATIHAN WATER RAFTING

15-17 Julai 2011 - Penyertaan lebih kurang 30 orang angota JPAM Perlis telah memulakan pergerakan dari PDPA Kangar pada awal pagi untuk menguji mental dan fizikal dalam aktiviti yang penuh mencabar ini. Lata Air Deras Sungai Sedim selain menjadi tumpuan tempat perkhelahan dan para pencinta alam, ia juga sesuai untuk aktiviti White Water Rafting.

Dengan khidmat bantuan dari jurulatih berpengalaman dalam aktiviti lasak ini, semua anggota dan pegawai yang terlibat telah memberikan penumpuan dan semangat yang tinggi untuk mengendalikan raft tanpa sebarang masalah. Teknik mengendalikan raft bukan sesukar yang disangka asalkan yakin dan sentiasa peka terhadap permukaan juram. Selagi tinggi juram selagi mencabar laluan yang ditempuhi, namun risiko sedia menanti bagi yang tidak berhati-hati semasa mengendalikan raft.

Latihan ini menjadi suatu aktiviti rekreasi pada para anggota yang ingin melepaskan tekanan semasa menjalani latihan angkatan dan ia juga telah mencetuskan idea untuk memiliki raft ini bagi menjalankan Operasi Khidmat Kemanusiaan semasa operasi banjir.

Anggota yang berkampung selama 3 hari 2 malam telah menunjukkan semangat kerjasama bagi menjayakan latihan ini dengan harapan dan semangat baru yang akan dibawa dalam program jabatan yang lain.

Saksikan video ini






JURUTEKNIK MAUT KETIKA HANTAR ANAK KE SEKOLAH

20 Jun 2011 - pada jam 6.15 pagi, satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah motosikal dan tiga orang mangsa telah berlaku dihadapan Sekolah Menengah Kebangsan Syed Sirajuddin yang telah meragut satu nyawa. Kejadian berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang oleh Jasmin Bin Yusof bersama anaknya datang dari arah Kangar menuju ke Arau bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang keluar secara tiba-tiba dari arah sekolah menyeberangi jalan menuju ke Kangar. Dalam pada itu, sebuah kereta dari arah Kangar yang dipandu oleh Ahmad Syahir Solihin Bin Sukiman bersama kawannya Muhammad Zaid Bin Jafri iaitu anggota JPAM Perlis juga hampir terlibat dalam kemalangan tersebut apabila seorang mangsa tercampak ke tengah jalan, walaubagaimanapun kereta tersebut berjaya berhenti sebelum melanggar mangsa.

Kedua-dua orang anggota tersebut membuat pemeriksaan terhadap ketiga-tiga orang mangsa dan mendapati seorang mangsa cedera ringan, seorang lagi mengalami kepatahan tulang pelvic dan mangsa seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian sementara menunggu disahkan oleh pihak hospital. Anggota tersebut membuat panggilan terus ke Pusat Kawalan Operasi JPAM Perlis untuk membantu pihak hospital dan polis. Mangsa yang mengalami kepatahan tulang Pelvic dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk mendapatkan rawatan.

Memandangkan pada hari tersebut adalah hari bekerja dan kejadian berlaku dihadapan sekolah, keadaan jalan semakin sesak dan satu cabaran bagi pihak JPAM dan Polis apabila pengguna jalan raya tidak mematuhi isyarat yang diberikan. Mangsa yang meniggal dunia ialah Jasmin Bin yusof berumur dalam lingkungan 50-an dan bekerja sebagai juruteknik di kilang Shoerubber Jejawi. Kes tamat pada jam 7.45 pagi apabila polis selesai membuat laporan dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dituntut oleh keluarga mangsa.